Tuesday, October 4, 2011

Mee kabus malam



Perasaan lapar menebal di perutku. Secawan mee segera sudah tersedia tapi masih belum dimasak. Pemanas air sedang sibuk menjalankan tugas hariannya di tepi mejaku. Blurp blurp blurp… Aku pun segera menuangkan air panas itu ke dalam cawan mee segeraku. Aliran air yang menggelegak membasahi mee kering itu mengingatkanku kepada peristiwa semester lepas. Di kala aku dan kawan-kawanku menbuat pesta Maggi di bilik kawanku Rizal. Sedang sibuk kami menguruskan mee segera masing-masing, tiba-tiba Ajim membuka cerita. “Kau semua tahu kes Dina?” “Tidak,” kami membalas hampir serentak. “Kan dia tidak hadir hari ini. Dia demam. Lemah semangat aku dengar. Khabarnya dia terserempak peristiwa aneh semalam.” Ajim menyambung ceritanya lagi, “ketika dia balik dari perjumpaan persatuan, dia terlepas bas. Dia yang jarang balik lewat itu tidak tahu yang bas terakhir adalah pada jam 10.30 malam. Tunggulah dia di perhentian bas walaupun sudah terlepas bas terakhir itu. Hendak dibuat cerita, datang pula bas pada jam 11 malam. Dia pun mula bangun untuk menunggu bas itu berhenti. Tetapi bas itu terus pergi dan Dina pula berdiri kaku di situ. Dia melihat bas yang lalu di hadapannya itu tidak dipandu sesiapa dan tidak ditumpang sesiapa pun.” “Ah kau Jim. Macamlah kau pun berada di sana. Cerita kau ini terperinci betul,” Zack mencelah. “Betullah. Aku dengar Siti yang menumpangkan dia di biliknya malam semalam. Dina mengetuk pintu biliknya macam orang gila sambil menangis teresak-esak. Siti ingatkan dia diragut,” Ajim menguatkan faktanya. “Haa. Kau semua tidak tahukah. Perkara itu perkara lama sudah di universiti ini. Dari awal penubuhannya lagi. Dulu kawasan ini kawasan peneroka. Tetapi tidak lama kawasan ini dibuka, kerajaan membelinya dan menubuhkan universiti ini. Jadi, tiada perbersihan dilakukan. Orang kata bas itu membawa penghuni kawasan ini keluar. Jadi kalau sudah terlepas bas jam 10.30 itu, baik kau tumpang sahaja bilik kawan yang berdekatan. Dina bernasib baik tidak nampak penumpangnya. Manalah tau nasib kau semua baik, tiba-tiba ada yang pandang kau dan HAH!” Fin menyergah. Aku yang sedang seram sejuk di situ tidak sengaja tertumpah cawan meeku. Habis basah seluar pendekku dengan sup mee segera. Gelak sakan kawan-kawanku malam itu. Aku pula merah padam bak cili merah menahan malu. Sejak itu, tiap kali aku memasak mee segera pasti aku akan teringat insiden itu. Aku tidak kesah meeku tertumpah lagi, tetapi janganlah aku mendapat nasib sama seperti Dina.





4 comments:

  1. Amirul
    ya, ini versi cerita seram kampus yang pernah saya dengar. kalau dapat dikembangkan, menarik juga. saya dapati, sdr ada lenggok bercerita yang lancar, Amirul. cuma perlu menyaring lagi aspek bahasanya.

    selamat menulis dan jaga kesihatan.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Dr.
    Saya tidak mahir dalam penulisan bahasa melayu. Harap penulisan saya selepas ini makin lancar.

    ReplyDelete
  3. Saya pernah dengar cerita ini!
    sem lepas,tapi waktu maghrib..
    terfikir, kalau saya berada di tempatnya,apa yang perlu saya buat?
    hu...

    ReplyDelete
  4. Tarik nafas dalam-dalam dan bersedia untuk lari..haha

    ReplyDelete