Thursday, October 6, 2011

Bertenaga selalu



Beratus-ratus ion berarak menerusi aliran di depanku. Aku dapat akhirnya menarik beberapa ion untuk bekalan diriku. Kawan-kawan di sekelilingku juga lega kerana kami semua sudah kekeringan tenaga bagi memenuhi kehendak tuan kami yang sibuk ini. Dulu tidak pula dia seperti ini. Walaupun usiaku tidaklah setua mana, aku pernah mendengar rakan-rakanku yang lebih tua bercerita tentang tuan kami ini. Keadaan tuan kami ini sukar diduga. Dahulu, dia jarang mengambil minuman isotonik. Rakan-rakanku yang lepas hanya menerima bekalan daripada makanan yang biasa tuan kami makan sahaja. Jiran kami di epidermis sibuk bercerita tentang betapa banyaknya tin Revive yang terkumpul di biliknya. Kami di dalam tidak berapa kesah kuantiti tin yang tuan kami kumpul kerana fungsinya amat jelas.. Kami amat penat berhempas-pulas di dalam tubuhnya ini menggerakkan rakan Tulang kami yang pendiam itu. Mentang-mentanglah mereka tidak banyak bekerja. Aku hanya berterima kasih kepada abang mereka si Sum-sum sahaja. Anak-anaknya si Adik-beradik Darah amat rajin membantu kami dan rakan-rakan yang lain. Namun begitu, kami agak khuatir jika kami terlebih bekerja. Ini kerana peluh kami yang berasid akan menyebabkan kami sakit. Adik Darah Merah pun kadang-kadang tidak cukup untuk memberi kami oksigen. Nasib baik gula dari Revive itu ada. Dapatlah menolong Encik Jantung dan Cik Paru-paru bekerja di atas sana. Harap tuan kami mengawal kekerapan meminum Revive. Jika tidak, pasti Encik Hati menjerit meminta tolong. Tuan, jangan terlalu minum banyak Revive ya.

2 comments: