Anda pernah mengidam? Pasti anda pernah bukan. Jangan anda fikir mengidam itu hanya pada ibu mengandung sahaja. Saya selalu juga mengidam walaupun seorang lelaki dan masih bujang. Dahulu saya pernah mengidam mahu memakan sushi. Sushi itu apa? Sushi ialah nasi yang dikepalkan dan di atasnya diletakkan potongan kecil ikan atau makanan laut yang lain. Ada juga sushi yang menggunakan telur, sambal dan sebagainya. Yang biasa dijual ialah yang bersalut rumpai laut dan atasnya makanan laut. Kawan-kawan saya sudak masak dengan citarasa saya. Ada seorang kawan saya yang tidak pernah terlupa untuk membelikan saya set sushi setiap kali dia melawat saya. Apa kaitannya dengan mengidam. Sabar saudara, saya akan menyambung cerita. Dahulu kerana terlalu mengidam sushi, saya mengirim kawan saya yang hendak keluar ke Jusco. Dia bertanya saya jenis sushi apakah yang saya mahu. Saya yang kempunan berkata ikut suka hati kawan saya sajalah. Kawan saya yang memang terkenal dengan perangai suka menyakat itu pun mula mengambil kesempatan. Dia secara diam-diam meletakkan inti wasabi, sejenis perasa dari Jepun yang amat pedas ke dalam sushi tersebut. Saya pula terus makan sushi itu tanpa memeriksanya terlebih dahulu. Kemudian berguling-guling kawan saya menggelakkan saya yang tersedak dan terbatuk-batuk menahan pedas. Moral cerita saya? Walaupun terlalu mengidam, janganlah bersikap gelojoh. Makanlah dengan tertib dan sopan serta mengawal nafsu anda.
No comments:
Post a Comment