Monday, September 26, 2011

Setitik Sup Secarik Isi Ayam



Lenguh di kakiku semakin terasa, di bawah pancaran matahari yang samar-samar dalam penantianku di stesen Keretapi Tanah Melayu Bandar Tasik Selatan. Masa yang jelas terpapar di wajah jam tanganku masih menunjukkan lebihan masa. Masa yang membolehkan diriku hadir ke kelas petang. Dari jauh kedengaran bunyi keretapi semakin hampir. Sambil berasak-asak mencari ruang, aku menaiki gerabak yang padat dengan orang ramai untuk pulang ke UKM. Setibanya di stesen UKM, aku menahan perutku yang mulai sakit. Pelbagai jenis orkestra berpesta di perutku menunggu jamuan yang tak juga tiba. Tapi aku biarkan sahaja sambil menaiki bas. Nasi ayam di KTAMS bermain-main di fikiran ku. Walaupun ada hidangan yang lain bersusun di sana, aku lebih selesa dengan nasi ayam. Alasannya kemalasan aku menginginkan makanan yang cepat disediakan dan siap terhidang di depanku.Dahulu aku begitu cerewet dalam memilih nasi ayam. Pernah dahulu aku menjadi seperti pengkritik makanan tetapi perngkritik untuk nasi ayam sahaja. Sup 3 bintang, ayam 2 bintang dan seterusnya. Aku tertawa sebentar memikirkan kritikan aku dulu pernah menjadi bahan rujukan rakan-rakan untuk memilih kedai makan di Bandar Bharu Selayang. Sebaik sahaja aku tiba di KTAMS, kawan istimewaku sudah menanti di tepi tangga untuk menemaniku makan bersama. Rupanya hidangan nasi ayam memang telah awal-awal disediakan oleh kafetaria KTAMS. Haruman sup dan ayamnya bagaikan menari-nari disekililingku. Tanpa membuang masa, rayuan perutku diterima.


No comments:

Post a Comment