Sunday, November 6, 2011

dari Roma ke Dunia



Alexander berlari menuruni cerun bukit dengan laju seperti dikejar hantu. Di belakangnya seorang lagi budak lelaki berlari mengejarnya dengan nafas tercungap-cungap. "Alex tunggu!" Alexander tidak mempedulikan panggilan itu dan mengekalkan kelajuannya. Sampai di kaki bukit akhirnya mereka berdua sampai ke jalan batu melihat barisan tentera datang dengan lori-lori sarat dengan muatannya. "Geia sas!" salah seorang dari tentera itu menjerit dari dalam jip yang dinaikinya. Mereka berdua tersenyum dan melambai tangan. Pandai pula lelaki Amerika itu bercakap Greek. "Alex, mereka buat apa di sini?" kawannya berkata sambil duduk mencangkung menghilangkan penat. "Mereka datang bawa makananlah Daimen bodoh. Balta sudah menghantar surat bulan lepas. Akhirnya mereka datang. Perang ini memang menyusahkan kita," Alexander melompat turun dan mengikut jalan kecil pulang ke kampungnya. Sutri banyak terjejas dengan perang dunia kedua ini. Kampung mereka banyak kehabisan makanan. Tentera dari barisan Bersekutu ini datang memberi bantuan kepada mereka sejak 2 tahun lalu. Bantuan itu amat diharapkan mereka setelah penat mereka bekerja di lombong arang batu berdekatan. Setelah Alexander dan Daimen tiba di kampung mereka, Balta tersenyum dan memanggil mereka," Kamu berdua bermain ke mana tadi?" "Kami di Velia. Tentera tadi sudah sampai?" "Mereka ada di gudang. Adara dan lain-lain menolong mereka mengagihkan makanan. Pergilah kamu berdua ke sana." Mereka pun bergegas ke gudang. Satu-satunya gudang makanan di kampung mereka. Setelah mereka hampir dengan gudang itu, terdengar suara Adara membebel kepada tentera yang menolongnya itu. "Bacon dan telur lagi. Kamukan banyak duit. Janganlah hantar makanan yang sama lagi. Berperang sahaja kamu tahu. Kami di sini yang susah." Tentera itu mencebik muka dan membalas kembali," Perempuan tua, berterima kasihlah kami datang. Kalau tidak mati kebuluranlah kamu semua." Adara dengan muka yang berang mula hendak membalas kembali tetapi terhenti melihat mereka berdua berjalan ke arahnya. "Bagus kamu berdua datang. Mari tolong Peri di sana. Tapi kamu berdua pergilah makan dahulu ya." Mereka senyum ke arah tentera itu dan berlari pergi. Sampai di meja makan, Peri dengan pantas memberi mereka mangkuk berisi spagetti. Mata Daimen mula bercahaya melihat makanannya. Mata Alexander pun bercahaya juga tetapi dengan cahaya yang nakal. "Daimen, Serica menjeling ke arah kamu." "Betul?" Daimen terus berpaling mencari Serica. Alexander dengan pantas memicitkan dakwat sotong hitam ke dalam mangkuk Daimen. "Alex," Daimen dengan muka penat melihat mangkuknya. Alexander pula gelak terbahak-bahak sambil menepuk meja. Daimen pula sibuk mengejar Peri meminta makanan yang baru. Tidak mereka berdua tahu, helah Alexander itu bakal menjadi salah satu makanan popular di seluruh dunia. Akan tetapi, dek kerana tentera-tentera Bersekutu itu hasil ciptaannya bertukar ke rupa yang lain. Kamu semua tahu akan makanan itu. Dengar di mana-mana restoran Itali, pasti ada yang memberi pesanan, "Saya mahu Carbonara satu."



No comments:

Post a Comment