Friday, November 25, 2011

Madu Bunga Layu

titisan mengalir di tangan,

keluar bersama dariku mimpi-mimpi semalam,

dari gua hati penuh rindu,

lohong hitam membeku,

sejuk membaham kalbuku,

ku mencari apakah perasaan itu,


tarian lebah-lebah itu mengkhianati cermin dunia sebenar,

hakikatnya ditenggelamkan oleh kelikatan yang sama,

kuning sama warna bak cahaya di kala terbenam mentari,

namun pahit bak hempedu,

titisan itu mengalir kembali,

bersama cecair jernih bak kaca,


helaian kelopak mawar gugur satu persatu,

perlahan-lahan bagai memanggil hati yang sayu,

reput kehitaman sebelum ianya menyapu bumi serba kontang,

di tengah-tengah hutan gelap,

tatkala senario sepi itu,

tiupan sang angin menghempas gelora,

dan mawarku musnah,


apakah madu itu sesuci dulu,

hanya indah di mata,

namun pahit tidak terkata,

manis hanya di mulut,

menutup cebisan yang makin hilang.

Sunday, November 6, 2011

dari Roma ke Dunia



Alexander berlari menuruni cerun bukit dengan laju seperti dikejar hantu. Di belakangnya seorang lagi budak lelaki berlari mengejarnya dengan nafas tercungap-cungap. "Alex tunggu!" Alexander tidak mempedulikan panggilan itu dan mengekalkan kelajuannya. Sampai di kaki bukit akhirnya mereka berdua sampai ke jalan batu melihat barisan tentera datang dengan lori-lori sarat dengan muatannya. "Geia sas!" salah seorang dari tentera itu menjerit dari dalam jip yang dinaikinya. Mereka berdua tersenyum dan melambai tangan. Pandai pula lelaki Amerika itu bercakap Greek. "Alex, mereka buat apa di sini?" kawannya berkata sambil duduk mencangkung menghilangkan penat. "Mereka datang bawa makananlah Daimen bodoh. Balta sudah menghantar surat bulan lepas. Akhirnya mereka datang. Perang ini memang menyusahkan kita," Alexander melompat turun dan mengikut jalan kecil pulang ke kampungnya. Sutri banyak terjejas dengan perang dunia kedua ini. Kampung mereka banyak kehabisan makanan. Tentera dari barisan Bersekutu ini datang memberi bantuan kepada mereka sejak 2 tahun lalu. Bantuan itu amat diharapkan mereka setelah penat mereka bekerja di lombong arang batu berdekatan. Setelah Alexander dan Daimen tiba di kampung mereka, Balta tersenyum dan memanggil mereka," Kamu berdua bermain ke mana tadi?" "Kami di Velia. Tentera tadi sudah sampai?" "Mereka ada di gudang. Adara dan lain-lain menolong mereka mengagihkan makanan. Pergilah kamu berdua ke sana." Mereka pun bergegas ke gudang. Satu-satunya gudang makanan di kampung mereka. Setelah mereka hampir dengan gudang itu, terdengar suara Adara membebel kepada tentera yang menolongnya itu. "Bacon dan telur lagi. Kamukan banyak duit. Janganlah hantar makanan yang sama lagi. Berperang sahaja kamu tahu. Kami di sini yang susah." Tentera itu mencebik muka dan membalas kembali," Perempuan tua, berterima kasihlah kami datang. Kalau tidak mati kebuluranlah kamu semua." Adara dengan muka yang berang mula hendak membalas kembali tetapi terhenti melihat mereka berdua berjalan ke arahnya. "Bagus kamu berdua datang. Mari tolong Peri di sana. Tapi kamu berdua pergilah makan dahulu ya." Mereka senyum ke arah tentera itu dan berlari pergi. Sampai di meja makan, Peri dengan pantas memberi mereka mangkuk berisi spagetti. Mata Daimen mula bercahaya melihat makanannya. Mata Alexander pun bercahaya juga tetapi dengan cahaya yang nakal. "Daimen, Serica menjeling ke arah kamu." "Betul?" Daimen terus berpaling mencari Serica. Alexander dengan pantas memicitkan dakwat sotong hitam ke dalam mangkuk Daimen. "Alex," Daimen dengan muka penat melihat mangkuknya. Alexander pula gelak terbahak-bahak sambil menepuk meja. Daimen pula sibuk mengejar Peri meminta makanan yang baru. Tidak mereka berdua tahu, helah Alexander itu bakal menjadi salah satu makanan popular di seluruh dunia. Akan tetapi, dek kerana tentera-tentera Bersekutu itu hasil ciptaannya bertukar ke rupa yang lain. Kamu semua tahu akan makanan itu. Dengar di mana-mana restoran Itali, pasti ada yang memberi pesanan, "Saya mahu Carbonara satu."



Saturday, November 5, 2011

Gula berlarutan








Saya suka makan benda manis bukan? Teringat masa ketika kita berjalan-jalan di Prima. Saya berhenti sebentar melihat barisan kek terpamer di cermin kaca Secret Resepi dengan mata yang bercahaya. Dapat dirasakan Saya terliur melihat bermacam-macam jenis kek pelbagai rupa, pelbagai warna, pelbagai perisa. Coklat? Vanilla? Caramel? Saya tidak memilih. Cappuccino? Lemon? Red Velvet? Saya makan semua. Tergelak sendirian melihat Saya yang asyik membayangkan kek-kek berpusing dan menari di mindanya. Agaknya apakah pilihan Saya untuk kek hari perkahwinannya nanti. Pasti pasangannya resah di kedai kek menunggu Saya yang sukar membuat keputusan. Sejenak di perpustakaan terlihat Saya sibuk menaip dan merenung komputer ribanya di ruang wifi. Dari depan kelihatan seperti pelajar-pelajar biasa yang sibuk menyiapkan tesis dan sebagainya. Tidak orang lain tahu Saya sebenarnya sibuk melihat koleksi kek melalui Google. Bagai bertih Saya memberi komen akan hasil pencariannya itu. Ternyata patissier di seluruh dunia sudah semakin kreatif menghasilkan kesenian teragung mereka. Kek di zaman ini tidak lagi berbentuk bulat dan petak semata-mata. Sekarang kek itu hampir seperti objek bernyawa. Tinggi bermenara, beralun berlapis-berlapis, berhiasan permata gula dan kepingan coklat. Warna putih masih digunakan terutamanya untuk majlis perkahwinan tetapi putihnya pelbagai tona. Kekreatifan pembuat kek tidak lagi terbatas kepada putih pucat tetapi berkembang megah dengan putih perak, putih mutiara dan putih tulen. Saya yang hantu kek pasti menangis melihatnya jikalau kek-kek itu berada di depan mata. Bukan kerana terharu melihat keindahan itu tetapi berasa sayang untuk memakannya. Dengan senyuman lembut tangan Saya dibelai dan ditepuk manja. Saya mula tersenyum lebar menunjukkan barisan giginya yang teratur bersih menampakkan pula lesung pipit yang comel. Saya nekad berpegang kepada janji kek untuk harijadi tahun hadapan. Suatu hari di mana detik 12 malam tanda persembahan kek khas teristimewa. Moga janji itu datang dengan cepat. Saya memulakan kembali langkahnya meninggalkan ruang depan Secret Resepi sambil melompat-lompat kecil seperti kanak-kanak mendapat aiskrim. Lalu Saya berpusing dan mebongkokkan sedikit badannya yang comel itu sambil berkata manis, "Janji ya."











Oleh,



Dia